Peristiwa Penting Dalam Bulan Ramadhan


Alhamdulillah, berlalu sudah fasa kasih-sayang (Rahmat) dan kita sudah memasuki fasa maghfirah (keampunan) dalam bulan Ramadhan. Cukup pantas Ramadhan meninggalkan kita. Beruntunglah orang-orang yang mengejar segala ganjaran di bulan barakah ini. Rugilah bagi golongan-golongan yang hanya menahan lapar dahaga tetapi tidak menjaga kualiti ibadah. Mari kita hayati beberapa kisah atau peristiwa yang berlaku di dalam bulan Ramadhan.
  1. Penurunan kitab-kitab Samawi pada bulan Ramadhan.Suhuf Nabi Ibrahim : Awal Ramadhan
    Kitab Taurat Nabi Musa : 6 Ramadhan
    Kitab Injil Nabi Isa : 13 Ramadhan
    Kitab suci al-Quran : 17 Ramadhan
  2. Peristiwa Lailatul Qadar berlaku pada bulan Ramadhan seperti yang dijelaskan dalam surah al-Qadr.
  3. Perang Badar berlaku pada hari Jumaat bersamaan 17 Ramadhan tahun ke 2 Hijrah yang membawa kemenangan kepada tentera Islam. Ia juga disebut “Yaumul Furqan” (Hari pemisah antara yang benar dengan yang salah).
  4. Pembukaan Kota Mekah (Fathu Makkah) yang berlaku pada 20 Ramadhan tahun ke 8 Hijrah.
  5. Perang Tabuk berlaku pada bulan Ramadhan tahun ke 9 Hijrah.
  6. Peristiwa Bani Thaqif dari Taif memeluk Islam pada bulan Ramadhan tahun ke 9 Hijrah.
  7. Pemusnahan tempat pemujaan berhala al-Uzza oleh panglima Khalid al-Walid di Nakhlah pada bulan Ramadhan tahun ke 8 Hijrah.
  8. Penyebaran Islam ke negeri Yaman pada bulan Ramadhan tahun ke 10 Hijrah.
  9. Panglima Tariq bin Ziad berjaya mengalahkan tentera Roderick pada bulan Ramadhan tahun ke 92 Hijrah yang membawa kepada pembukaan Andalusia (Sepanyol).
  10. Berlaku perang al-Zulaqah pada 25 Ramadhan tahun 479 hijrah di suatu kawasan tanah rendah (berhampiran Portugal sekarang) di antara tentera Islam di bawah pimpinan Yusuf Tashipin dengan tentera Perancis pimpinan Alfonso. Tentera Islam mencapai kemenangan.
  11. Berlaku perang “Ain Jalut” pada 15 Ramadhan tahun 658 Hijrah di antara tentera Islam yang dipimpin oleh Sultan Qutuz iaitu Sultan Kerajaan Mamalik di Mesir dengan tentera Mongol. Tentera Islam mencapai kemenangan dan berjaya menyatukan kembali Mesir dan negeri Syam.
  12. Khadijah binti Khuwailid isteri Nabi S.A.W. menerima Islam.
  13. Kematian Ummul Mu’minin Khadijah binti Khuwailid pada tahun ke 10 selepas Nabi SAW dilantik menjadi Rasul. Beliau merupakan isteri pertama baginda s.a.w., ibu kepada anak-anak baginda SAW, orang yang pertama menyahut seruan Nabi s.a.w, pembantu setia dan pendamping rapat yang telah membelanjakan segala hartanya dan dirinya di dalam menyebarkan agama Islam kepada masyarakat syirik dan berhala di Kota Mekah.
  14. Pada tahun kedua Hijrah difardhukan ‘ibadah zakat dan solat dua hari raya.
  15. Perutusan Zaid bin Harithah pada tahun keenam Hijrah ke kediaman Bani Fazarah bagi menggertak mereka kerana telah menghalang satu kafilah dagangan daripada menuju ke Madinah, mereka telah menawan kafilah tersebut, merampas dagangannya dan membunuh beberapa anggotanya. Apabila Zaid sampai di sana, beliau mendapati Bani Fazarah telah melarikan diri dan beliau pulang ke Madinah membawa beberapa orang tawanan dan harta.
  16. Pengislaman kaum Saqif pada tahun ke 9 Hijrah setelah menemui Nabi s.a.w. di Madinah.
  17. Kematian ketua wanita penghuni syurga Fatimah binti Muhammad s.a.w. pada tahun ke 11 Hijrah. Beliau merupakan orang pertama di dalam keluarga nabi Muhammad yang meninggal dunia selepas kewafatan Baginda s.a.w. Berusia 29 tahun meninggalkan suaminya Ali bin Abi Talib dan dua orang cucu Baginda s.a.w. ketua pemuda penghuni syurga al-Hasan dan al-Husin.
  18. Kematian Ali bin Abi Talib pada tahun 40 Hijrah dibunuh oleh seorang Khawarij Abd Rahman bin Muljim al-Himyary.
  19. Kematian Ummul Mu’minin Aisyah binti Abu Bakar as-Siddiq pada tahun ke 85 Hijrah.
  20. Kematian Nafisah binti al-Husan bin Zaid bin al-Hasan bin Ali bin Abi Talib pada tahun ke 208 Hijrah. Beliau telah keluar dari Madinah bersama suaminya Ishaq bin Jaafar bin Muhammad as-Sadiq menetap di Mesir.

Ulasan

Catatan Popular