Cantik itu Subjektif ?

Bismillah...
Assalamualaikum...
Cantik itu Subjektif ?
Tapi > > >
Saya pendek, berkulit gelap, berjerawat, dan berangka kecil. Saya juga seorang yang agak kasar dan garang sejujurnya. 
Kecantikan itu merupakan kurniaan Illahi, dan saya tidak dikurniakan memiliki kecantikan seperti orang lain yang sangat cantik putih mulus dan menawan.
Namun saya redha dengan apa yang Allah berikan pada saya. Orang cakap cantik tu subjektif. Ada orang yang nampak cantik di mata semua orang, dan ada orang yang nampak cantik di mata sesetengah orang sahaja. Saya mengaku, kata-kata itu ada benarnya.
Jadi, saya tidak mencuba untuk nampak cantik di mata sesiapa. Kerana saya tahu saya tidak mampu untuk kelihatan cantik seperti mereka.
Saya telah berjaya buktikannya. Kecantikan luaran saya tidak mampu ubah, tetapi kecantikan peribadi masih boleh saya miliki. Kecantikan akhlak, budi bahasa membuatkan saya juga memiliki ramai kawan dan keluarga juga turut menyukai saya.
Saya sentiasa berusaha untuk menjaga akhlak saya dengan kawan-kawan dan keluarga. Saya sentiasa mencuba untuk membuat baik dan membantu mereka. InsyaAllah
Saya tahu saya tidak boleh ubah rupa paras saya, tapi saya boleh ubah perangai dan akhlak saya. Biarlah rupa paras tidak cantik, asalkan peribadi dan akhlak saya cantik.
Secara beransur-ansur, saya cuba untuk menjadi perempuan yang berakhlak mulia, bersopan santun dan lemah lembut.
Saya mengaku saya memang tidak boleh ubah diri saya jadi lemah-lembut seperti orang lain. Mereka memang begitu ukurannya, dan saya memang begini ukurannya. Namun saya telah mencuba sedaya upaya untuk memiliki sifat-sifat baik yang perlu dimiliki oleh wanita muslimah.
Kecantikan bukan penentu kebahagiaan, yang penting adalah dengan ilmu yang saya miliki dan cara saya membawa diri.
Saya pun menanam azam untuk mendalami ilmu bersungguh-sungguh kerana, tidak guna cantik andai tidak berilmu. Saya ingin menjadi seorang yang berilmu.
Kekurangan saya, saya jadikan perangsang untuk berjaya. Saya berjaya kerana saya berusaha, bukan kerana paras rupa saya. Biarlah saya menang kerana memiliki ilmu bukan kerana memiliki kecantikan. Setiap orang memiliki kelebihan masing-masing, dan kelebihan tersebut perlu dicari dalam diri sendiri.
Baru kini saya sedar, walaupun Allah tidak kurniakan saya kelebihan dari segi kecantikan, namun Allah telah memberi saya banyak kelebihan yang lain.
Alhamdulillah. Banyak pengajarannya daripada kekurangan saya ni. Disebabkan saya tidak cantik, saya tidak terlalu mengejar produk-produk kecantikan yang mahal-mahal yang dijual di pasaran.
Kerana saya tidak cantik, saya tidak jadi mangsa gangguan lelaki-lelaki yang rosak akhlaknya.
Kerana saya tidak cantik, saya dapat pelihara diri saya daripada pandangan bernafsu lelaki yang tidak menjaga pandangannya.
Kerana saya tidak cantik, saya selamat daripada menjadi senjata iblis mencairkan iman lelaki.
Kerana saya tidak cantik, saya tidak mendapat fitnah dan cemburu daripada wanita-wanita lain.
Kerana saya tidak cantik, saya tidak mengharapkan pujian daripada mana-mana lelaki dan wanita, dan kerana saya tak cantik, InsyaAllah suatu hari nanti saya menemui insan yang mencintai saya seadanya.
Paling penting, kerana saya tak cantik, saya sentiasa mencuba untuk menjadi cantik pada pandanganNya. Cantik pada pandangan manusia bukanlah apa-apa.
Saya ingin berpesan kepada saudari-saudari sekalian yang mengejar kecantikan. Tiada wanita yang lebih cantik, melainkan wanita solehah.
Cantik di dunia, tidak membawa sebarang kebahagiaan di akhirat kelak. Cantiklah untuk DIA, maka segalanya akan menjadi CANTIK.

'Nak jadi cantik, anda kena yakin anda cantik bukan dengan rasa anda cantik.' 

'Siapa yg tidak kisah akan kecantikan, dia tidak cukup syarat untuk menjadi solehah.' 
- Dr Rubiah dalam slot Solehah itu Indah. ♥

"If we feel complete, we don't
have to show off" 
-Datin Zaleha Omar

Ulasan

Catatan Popular