Teknologi Maklumat: Blogger=Da’ie – Kita dan Facebook.

Umum mengetahui bahawa semakin kita menempuh masa hadapan, teknologi alam maya semakin berkembang luas. Kini, majoriti perkara mula dilaksanakan dengan bantuan alam maya. Alam maya seakan-akan telah berubah menjadi alam manusia yang sebenarnya. Kita amat arif betapa ramai yang terlalai dengan teknologi ini kerana asyiknya ia.

Justeru, di dalam artikel Blogger Da’ie kali ini, saya suka membawa pembaca yang suka berkecimpung menjadi “blogger da’ie” untuk melihat ‘alam maya’ ini dengan satu pandangan yang lebih luas. Terutama Facebook.

Kerana nyatanya, kita ini orang yang beriman, orang yang ingin menyebarkan kebaikan, akan melihat alam maya bukan semata-mata tempat berlibur. Tetapi akan memandangnya sebagai peluang untuk kita menumpahkan manfaat.

Blog/Website
Kita sudah amat arif dengan blog dan website kerana sebelum ini, Blogger=Da’ie banyak membincangkan perihal blog dan website, cara-cara menjadi blogger/websiter yang baik dan sebagainya. Kita juga telah membincangkan perihal blog yang baik, website yang baik itu bagaimana.

Nyatanya blog/website adalah medium yang sangat menjadi kegilaan ramai hari ini. Sebagaimana telah kita nyatakan dalam artikel-artikel yang lepas, kita sebagai Blogger=Da’ie perlulah kreatif, agar blog kita punya tamayyuz(perbezaan), keluar biasaan, dari blog-blog kebanyakan yang lain.

Saya tidak mahu perpanjangkan hal Blog/Website ini.
Sila rujuk artikel-artikel Blogger=Da’ie yang sebelum ini untuk penerangan lebih detail.

Facebook.
Laman sosial paling hangat pada zaman ini. Facebook.
Kita faham bahawa Facebook punya ramai pengguna. 24 jam tidak putus-putus dari seluruh dunia. Maka sebagai blogger=da’ie, apakah cukup kita menjadi seperti orang lain dengan updates status berkenaan harian kita semata-mata? Apakah cukup dengan menggunakan Facebook sebagai bahan komunikasi semata-mata?

Tidak.

Kita perlu bayangkan bahawa Facebook ini adalah Taman Rekreasi yang dihadiri ramai orang. Siapa yang akan ceritakan hal peribadinya terang-terangan di tengah taman rekreasi? Tetapi berkenaan dakwah, ada orang berdakwah di tengah-tengah taman rekreasi secara terang-terangan.

Justeru, mengapa kita sebagai Blogger=Da’ie tidak berusaha menjadikan Facebook kita sebagai satu medium dakwah juga?

Kita disiplinkan diri kita untuk berfacebook dengan beradab, menggunakan kalimah-kalimah yang baik. Seterusnya menggunakan segala kelengkapan dan kemudahan yang ada di dalam Facebook tersebut seperti Wall Post, Notes, sebagai medium untuk memberikan penyampaian fikrah yang kita ada.

Kita juga boleh kongsikan harian kita. Tetapi jangan terlalu ‘self-centered’. Kongsikanlah pengalaman yang baik, disulami dengan ayat-ayat Allah SWT, Hadith Rasulullah SAW dan pengajaran-pengajaran yang baik. Bukan fokusnya adalah diri kita, tetapi fokusnya adalah pengajaran yang kita dapat dalam pengalaman kita. Begitu.

Gunakan sesungguhnya Facebook sebagai medan interaksi, berinteraksi dengan ramai orang menggunakan kalimah yang baik. Agar kalam-kalam Allah SWT, syakhsiah Rasulullah SAW, berterbangan melancar daripada sikap kita dalam komunikasi dengan orang ramai di dalam Facebook.

Facebook juga amat berguna untuk kita sebarkan link blog kita, promosikan setiap artikel terbaru yang kita tulis. Facebook juga juga amat berguna apabila kita membaca artikel, mendengar nasyid/lagu yang baik, untuk kita kongsikan di wall kita.

Jangan jadikan Facebook kita seperti Facebook kebanyakan yang lain.

Pastikan Facebook kita ada tamayyuz.

Kerana kita bukan orang biasa-biasa.

Kita “Blogger=Da’ie”, yang hidup untuk cari redhaNya.

Maka berFaceebok juga untuk mencari redhaNya.

Tetapi Jangan Sesekali Tertipu.
Tetapi sebagai “blogger=Da’ie” kita tidak akan sesekali tertipu. Alam Maya bukan matlamat kita. Alam maya bukan pengukur betapa gencarnya dan berjayanya gerak kerja kita. Sesuatu perkara itu perlu diukur dengan angka yang ‘benar-benar ada’.

Counter hit, bilangan like, bilangan share, bukanlah petanda aras sebenar dakwah kita berjaya.
Maka jangan rasa tertipu dengan bilangan like, bilangan share pada Facebook kita. Jangan tertipu dengan counter hit pada blog kita.

Sebab itu akhirnya, gerak kerja dakwah di alam realiti tetap perlu dipergiatkan juga. Alam Maya hanyalah medium. Semata-mata hanya sebagai salah satu alat lagi untuk kita ekstensikan penggunaannya. Tujuan sebenar kita adalah alam realiti. Kita nak realitikan angka-angka yang ikut kita di alam maya ni, ke alam realiti.

Maka jangan tertipu, hingga kerana terlalu sibuk menguruskan alam maya, kita tinggalkan gerak kerja sebenar di atas dunia.

Justeru, perlu ada perancangan yang jelas, bagaimana dari alam maya, hendak kita bawakan ke alam realiti!

Penutup: Blogger=Da’ie, dia berbeza.
Sebab itu, Blogger=Da’ie, dia berbeza.

Dia tidak sama dengan orang lain yang semata-mata menggunakan alam maya untuk kerseronokan dan kepuasan diri. Blogger=Da’ie, dia menggunakan alam maya untuk menyebar luas agama Allah SWT. Untuk menyebarkan fikrah kebaikan. Untuk mengimarahkan dunia ini dengan ketaatan kepada Allah SWT.

Kerana seluruh kehidupan ini adalah pengabdian kepada Allah SWT.
Maka bukankah apabila kita berada di dalam maya, itu juga adalah pengabdian kita kepadaNya?

Blogger=Da’ie memahami akan hal ini.

Ayuh!

Jadilah yang luar biasa!

Ulasan

Catatan Popular