Ujian Allah adalah Sangat Indah, Sedarkah?



Bismillah . . .
Assalamualaikum . . .
Dalam setiap ujian yang ditempuhi, kesabaran adalah kunci kekuatan dalam menghadapinya. Latihkan diri berfikiran positif kerana insyaAllah kita akan beroleh ganjaran yang lebih baik dari Allah SWT. Ujian merupakan jua hikmah dan petunjukbagi orang yang sedar akan hikmah di sebaliknya. Fikirkanlah, Allah SWT masih lagi memberi peluang agar kita muhasabah kembali atas setiap yang berlaku kepada kita. Bak kata pepatah yang kita biasa dengar, “Pengalaman adalah guru terbaik dalam kehidupan.”
Kita adalah insan dan hamba kepadaNya. Setiap insan yang Allah ciptakan punyai kisah hidup mereka yang unik dan tersendiri. Kita ditimpa dan diuju dengan pelbagai bentuk ujian. Maha Kaya Allah yang mampu mentadbir cakerawala ini dengan penuh tersusun. Sedar ataupun tidak, kisah kita semua amat berbeza. Hanya Allah yang maha besar yang berkuasa menjadikanNya. SubhanaAllah. Betapa kerdil diri kita, bukan?
Hakikatnya, Allah SWT sekalipun tidak memerlukan kita, namun kita sebenarnya yang memerlukan Dia, pencipta kita dan pentadbir alam nan indah ini. Cuba renungkan, bersyukurkah kita dengan nikmat ujian yang Dia telah tentukan pada kita? Berterima kasih jugakah kita dengan segala Allah yang Dia sediakan?
“Sesungguhnya Kami telah menempatkan kamu sekalian di muka bumi dan Kami adakan bagimu di muka bumi (sumber) penghidupan. Amat sedikitlah kamu bersyukur.” (Surah Al-A’raaf; ayat 10)
Oleh itu, kita sebenarnya tidak layak untuk mempertikaikan apa yang Allah telah sediakan buat kita. Kita seharusnya sedar akan hikmah dari apa yang Allah jadikan. Mungkin itu adalah balasan yang terdahulu dari dosa kita. Ataupun mungkin sahaja dugaan Allah membuatkan kita lebih mengenali siapa kita dan tujuan kita hidup di atas muka bumi Allah ini. Iringilah dugaan ini dengan redha dan penuh kesabaran.
Cuba sama-sama kita renungkan, dengan usia kita yang telah menjangkau kedewasaan ini, adakah terlihat usaha dan jasa kita pada agama seperti sahabat-sahabat baginda SAW dulu, ataupun seperti Rasulullah SAW sendiri? Pasti sukar untuk menyatakan ia telah terlihat. Hanya dibibir menyatakan Rasulullah SAW adalah qudwah hasanah, namun ke mana pergi praktikal hadis yang sepatutnya diikuti?
Rasulullah SAW adalah nabi Allah yang terakhir, insan yang maksum, yang jua kekasih Allah. Baginda juga tidak terlepas dari ujian dan dugaan yang berat.Baginda pernah ditentang hebat oleh golongan kafir Quraisy dalam meyebarkan dakwah Islamiah, baginda juga pernah kehilangan orang yang disayangi iaitu isteri dan bapa saudara baginda, serta Rasulullah SAW juga adalah seorang anak yatim, tanpa ibu dan ayah di saat umurnya yang masih muda. Apa yang ada pada kita sehingga kita berani menidakkan ujian Allah, sedangkan Rasulullah SAW redha dalam menerima banyak cabaran dalam hidupnya. Di manakah kita berdiri sebenarnya? Sedarkah dengan apa yang kita lakukan ini adalah bertentangan dengan fitrah kita sebagai hamba Allah SWT.
Istilah ujian biasanya kita sering tafsirkan sebagai kesusahan dan kegagalan. Namun kebenarannya, kesenangan dan kejayaan juga adalah antara ujian yang diberikan kepada hambaNya. Tidak lain, hanya untuk melihat sejauh mana keimanan yang bakal disemai dan telah pun ditanam dalam jiwa seorang hamba itu. Setiap hambaNya, telah diberikan dugaan yang berbeza-beza. Maha Kaya Allah terhadap apa yang Dia tentukan.
Siapa kita yang boleh menentukan hari semalam adalah hari yang malang bagi kita? Mungkin hari ini dan esok kita melaluinya lagi lantas berkata, Sekali lagi aku menempuh hari malang dalam hidupku.” Tidak! Kita tidak punya hak menentukan sesuatu kejadian itu adalah perkara yang malang. Buruk atau baik terletak pada tangan Allah. Mengapa tidak kita tukar sahaja menjadikan, “Hari ini, hari tarbiyah buatku. Terima kasih Ya Allah, aku mendapat pengajaran dari apa yang telah berlaku.” Dengan itu, bukan sahaja kita boleh tenang menghadapinya, malah jua menjadi motivasi bagi kita.
Sedar atau tidak, kita sebenarnya yang terlepas pandang akan susunan keindahan hidup  yang Allah telah tetapkan bagi setiap seorang manusia, begitu juga pada makhlukNya yang lain. Kita langsung tidak mempunyai hak ke atas kehidupan ini. Hanya mampu pada seorang hamba seperti kita adalah berusaha, berdoa, bertawakkal dan seterusnya segala ketentuan itu adalah milikNya.
Kesusahan dan Kegagalan

Dengan hadirnya kesusahan dan kegagalan, masihkah tertinggal iman yang kita semai dengan ujian tersebut?
Daripada Abi Yahya Shuhaib bin Sinan berkata: Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud,
“Sungguh baik nasib orang yang beriman kerana dalam semua keadaan mereka mendapat kebaikan. Dan tidak ada habuan baik seperti ini kecuali bagi mereka yang beriman. Apabila mendapat kesenangan maka ia akan bersyukur, maka syukur itu baik baginya. Dan apabila ditimpa musibah maka ia bersabar, maka sabar itu baik baginya.” (Hadis riwayat Muslim)

Mereka mengeluh dan sentiasa menafikan keadilan itu. Sedangkan mereka terlalu cepat menilai tanpa menyakini apa yang berlaku ini adalah tarbiyah pada dirinya. Dengan wujudnya keimanan dalam diri, menjadikan kita redha dengan apa jua bentuk ujian Allah. Yakin bahawa setiap kesusahan yang menimpa, Allah ada bersama kita kerana hanya Dia yang menurunkan kesusahan itu dan pada Dia juga kesusahan itu akan lenyap. Berdoalah dan bersabarlah agar ketenangan jiwa itu milik kita.

UJIAN Allah itu indah sebenarnya. Terletak pada kita untuk mentafsirkannya. Dengan iman, tafsiran kita lebih berasas. Dengan ilmu dan amal, tafsiran kita lebih jelas. Dengan keyakinan dan kepercayaan, tafsiran kita lebih tepat.

Ulasan

Catatan Popular